Sunday, December 6, 2009

Menikmati Keunikan Taman Herba Perak Sambil Memancing

IPOH, 30 Nov (Bernama) -- Adakah berminat bercuti bersama keluarga untuk menikmati keindahan dan mengenali lebih 500 jenis tanaman herba di Taman Herba Negeri Perak, Jalan Gopeng, dekat sini, sambil memancing di tasik pada musim cuti sekolah ini?

Anda berpeluang berbuat demikian dengan menyertai Rali Memancing darat pertama di negara ini yang bermula 25 Dis hingga 27 Dis ini anjuran bersama Jabatan Pertanian Negeri Perak dan K-Amal Corporation (M) Sdn Bhd.

Pengarah Urusan K-Amal, Kamal Fakhri berkata pihaknya memilih Taman Herba tersebut sebagai lokasi rali memancing berkenaan kerana keunikannya sebagai destinasi pelancongan-agro di samping kapasiti kolam dan infrastruktur yang sedia ada.

"Rali Memancing biasanya dianjurkan di tepi laut, tetapi kami memilih lokasi ini untuk mempromosinya sebagai destinasi pelancongan unik di samping kemudahan infrastruktur yang tersedia seperti kawasan berkhemah dan parkir," katanya kepada Bernama di sini.

Taman Herba Negeri Perak seluas 15 hektar itu terletak berdekatan dengan satu lagi destinasi pelancongan negeri Perak iaitu Kellie's Castle, sebuah bangunan lama yang menyimpan kisah cinta ala Taj Mahal.

"Penganjuran pertandingan ini mendapat sokongan dan kerjasama pihak pengurusan Taman Herba Negeri Perak iaitu Jabatan Pertanian Negeri dan ia merupakan sebahagian daripada program promosi taman," katanya.

Kamal bagaimanapun memberi amaran Rali Memancing itu bukan pertandingan memancing biasa tetapi cabaran memancing yang memerlukan kemahiran tinggi dan menguji kekuatan mental dan fizikal peserta sepanjang pertandingan.

"Kami akan melepaskan lima tan pelbagai jenis ikan air tawar seperti tongsan, patin, rohu, ara dan liko untuk mencabar kaki pancing, tetapi mereka yang amatur tetapi ingin mencuba nasib sambil bercuti bersama keluarga juga boleh," katanya.

Pemenang harian dalam pertandingan ini ditentukan oleh tuah memancing ikan terbesar manakala pemenang keseluruhan berdasarkan kepada jumlah ikan terkumpul terbanyak sepanjang pertandingan, jelasnya.

Hadiah utama pertandingan harian ialah tempat pertama RM8,000, kedua RM4,000 dan ketiga RM2,000 manakala hadiah utama Rali Final RM15,000, RM7,500 dan RM3,000.

Borang penyertaan boleh diperoleh di semua kedai pancing dan kolam pancing di seluruh negeri Perak mulai esok atau pendaftaran secara on-line menerusi http://www.eshoppe-icash.com/fishing/

-- BERNAMA

No comments: